comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran Sungai Kulim: Ladang itik akan diambil tindakan selepas memperolehi lesen JPV 

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang menjelaskan pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap ladang itik yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim sebelum ini kerana ia tidak dilesenkan di bawah jabatan berkenaan.

Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab bagaimanapun berkata tindakan susulan akan diambil jika pengusahanya tidak menangani masalah pencemaran selepas dikeluarkan lesen.

“Ladang itik tersebut belum lagi dilesenkan di bawah JPV, disebabkan enakmen penternakan baharu iaitu Enakmen Perladangan Unggas Pulau Pinang (EPUPP) 2020 baru sahaja dikuatkuasakan pada 1 Januari 2024.

“Jadi bermula pada tahun ini pihak JPV akan lesenkan semua ladang unggas di negeri Pulau Pinang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha ladang yang tidak mematuhi syarat,” katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan di ladang ternakan itik di Sungai Lembu, di sini, pagi tadi.

Katanya, ladang itik terbabit tidak boleh diarah ditutup serta-merta kerana mempunyai kira-kira 100,000 itik yang berada dalam proses ternakan aktif.

Ladang itu dipercayai beroperasi selama 15 tahun dengan lesen bangunan yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Jelasnya, pencemaran berlaku akibat sisa ternakan itik tidak diuruskan dengan kaedah yang ditetapkan.

“Pencemaran berlaku kerana sistem kumbahan tidak diurus dengan betul.

“Air cucian ternakan sepatutnya ke kolam kumbahan, tapi di sini dari kandang terus ke parit dan sungai,” jelasnya.

Kata beliau, pihaknya akan menasihat pengusaha ladang untuk memperbaiki sistem kumbahan mengikut syarat yang ditetapkan dalam EPUPP.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan ladang babi yang disyaki punca pencemaran sebelum ini turut tidak memiliki lesen penternakan JPV.

Ujarnya, permohonan pengusaha ladang babi terbabit sebelum ini ditolak pada Disember tahun lalu kerana tidak melaksanakan sistem penternakan tertutup dan sistem bio-sekuriti yang kurang memuaskan.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua perkara telah dilaksanakan oleh pengusaha ladang, namun sistem kumbahan masih dalam proses pembaikpulihan.

Katanya, JPV akan mengambilkira perkara berkenaan ketika meneliti permohonan semula lesen penternakan oleh pengusahanya kelak.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati tiada pencemaran dikesan daripada ladang babi berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini