comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pencemaran Sungai Kim Kim: Kerajaan Johor akan buat rayuan semak semula hukuman 

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri Johor akan memohon  kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk melihat semula hukuman pesalah berhubung pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata ia bertujuan menyemak semula hukuman denda yang dikenakan terhadap pesalah pencemaran sisa kimia di sungai terbabit sehingga memberi kesan kepada  hampir 2,000 orang dengan 947 daripadanya menerima rawatan di hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Jelasnya, sebagai usaha menjaga alam sekitar khususnya khazanah sungai, penguatkuasaan yang ketat perlu dilakukan.

“Mengulas isu denda yang dikenakan terhadap pelaku pencemaran Sungai Kim Kim. Kerajaan akan membuat rayuan kepada DPP untuk melihat semula.

“Sama ada dari segi denda yang dikenakan, dengan apa yang kerajaan belanja dan apa kesan kepada masyarakat sekitar adakah berbaloi atau tidak berbaloi.

“Dalam kita menjaga alam sekitar khas sungai untuk generasi akan datang sepatutnya penguatkuasaan yang lebih tegas dilaksanakan kerajaan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan pada 30 November, seorang pemandu lori dikenakan denda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan semalam  memaklumkan pemandu lori N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

JAS juga memaklumkan syarikat yang terlibat, P Tech Resources Sdn Bhd, berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Menurut Mohd Jafni yang juga Pengerusi Bersama Taskforce Sungai Johor berkata, Sungai Kim Kim antara 14 sungai tercemar di Johor dan dengan langkah pembersihan dan pemuliharaan, sungai itu kini berada di kategori tiga.

Pada Mac 2019, insiden pencemaran Sungai Kim Kim itu telah menjejaskan kesihatan seramai lebih 2,000 orang awam dengan sembilan daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail.

Susulan kejadian 111 sekolah di Pasir Gudang juga ditutup disebabkan insiden berkenaan.

Loading...
Terkini