Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dua syarikat perlombongan diarah menghentikan kerja-kerja perlombongan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik, Gua Musang, Kelantan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, arahan telah dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas membuat siasatan ke atas pematuhan kedua-dua syarikat berkenaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
“Hasil siasatan mendapati Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd telah menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan di bawah subseksyen 34A(3). Kertas siasatan akan dibuka dengan segera di bawah subseksyen 34A(6).
“Manakala bagi Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn Bhd), hasil siasatan mendapati premis tidak beroperasi di mana tiada sebarang kerja-kerja mengorek bijih besi atau memproses bijih besi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari inj.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta 127 sekiranya didapati penggerak projek gagal mematuhi mana-mana syarat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Ia bagi memastikan pelaksanaan projek dapat mengurangkan dan meminimumkan kesan kepada reseptor sensitif alam sekitar.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan supaya menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada pihak Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd sehingga Laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan.
“Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta 127 akan diambil tindakan perundangan yang tegas,” katanya.
Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah berdepan hukuman penjara mandatori selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta.
Tambah Nik Nazmi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited dan mengambil tindakan tegas dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran.
Beliau menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.