Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pencemaran Sungai Chandong: Nelayan resah hilang punca rezeki 


Oleh: Aslina Abu Bakar

PELABUHAN KLANG: Puluhan nelayan di Pulau Indah Selangor, di sini, dikhuatiri hilang mata pencarian gara-gara pencemaran Sungai Chandong yang dilihat semakin serius.

Dalam kejadian Sabtu lalu, terdapat  ribuan bangkai ikan terapung dengan bau busuk sehingga memeningkan kepala.

Nelayan mendakwa bangkai ikan ditemui terapung di sekitar sungai berkenaan dipercayai berpunca daripada sisa toksik yang dilepaskan dari kawasan perindustrian berhampiran.

Bertindak atas aduan, Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan anggota makmal biosecurity perikanan melakukan tinjauan dan mengambil sampel air sungai berkenaan.

Ketika menyelusuri sungai sepanjang 500 meter dari jeti Orang Asli Pulau Indah, Buletin TV3 mendapati pencemaran amat membimbangkan.

Kelihatan banyak bangkai ikan bersaiz besar terapung, bahkan ada yang melekat pada dahan pokok.

“Kejadian ni memang banyak merugikan nelayan lah kerana buat kali ni ikan ikan yang bersaiz besar banyak yang terbabit contohnya ikan Sembilang ,Siakap yang beratnya dalam 3 kilogram.

“Selalunya, jika ikan bersaiz besar mati bermakna kadar toksik dalam air ni tinggi,”katanya Nelayan, Adnan Kamis yang ditemui Buletin TV3.

Sebaik bot kami menghampiri kawasan perindustrian, bau terlampau busuk sehingga meloyakan.

Nelayan, Mohd Janis Kamis pula mendakwa pencemaran di sungai itu kerap berlaku sebelum ini.

“Industri  banyak mengeluarkan bahan bahan toksik, macam sekarang ni bau dia pun sangat kuat, nak cakap pun perit lah tekak ni,” dakwanya.

Menuju ke Sungai Pinang, Buletin TV3 mendapati permukaan air sungai berbuih, malah kawasan sekitar itu kelihatan seperti tempat pelupusan sampah.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya sudah mengambil sampel air sungai berkenaan untuk dibawa ke makmal.

“Sepanjang kita selusuri memang ada bau yang kurang menyenangkan dan kita tengok di sini ada gumpalan seperti  buih yang disyaki gas.

“Pun begitu pihak kami tidak dapat beri hasilan daripada sampel air  itu kerana kami perlu analisa terlebih dahulu, cuma kerisauan kita apabila ikan ni mati ia akan menjejas hasil nelayan yang terdiri daripada lebih 30 nelayan yang berlesen,”katanya.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesahkan pencemaran Sungai Chandong, Pulau Indah, Klang Sabtu lalu sehingga menyebabkan kematian banyak ikan berpunca daripada pelepasan efluen aktiviti industri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini