Tumpuan :
Nasional

Pencemaran sisa kimia: 38 Orang Asli dipindahkan 

KOTA TINGGI: Seorang pemandu dan seorang kelindan lori ditahan pihak berkuasa, bagi membantu siasatan kes membuang bahan kimia dalam Sungai Linggiu, kira-kira satu kilometer dari kawasan perkampungan Orang Asli Pasir Intan.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar Johor ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Akibat perbuatan itu, kira-kira 38 penduduk Kampung Orang Asli Pasir Intan, telah dipindahkan ke Balai Raya Kampung Orang Asli Sayong Pinang yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampung Pasir Intan selepas mendakwa terhidu pencemaran bau disyaki sisa kimia, sejak minggu lalu.

Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Pasir Intan, Hamdan Yusoff, semua mangsa terdiri daripada 10 keluarga yang mengalami mual, cirit-birit dan pening sejak 5 September lalu.

Menurutnya, bau berkenaan disyaki kesan daripada pembuangan bahan kimia ke kawasan berhampiran Sungai Linggiu yang terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan mereka.

“Mangsa dipindahkan atas inisiatif Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti dan pejabat ahli Parlimen Tenggara, selepas mereka mengadu terkesan akibat pencemaran itu sehingga tidak boleh tidur.

“Semua penduduk terbabit dipindahkan ke balai raya kampung Sayong Pinang. Pada awalnya hanya enam orang, namun kemudian semakin ramai penduduk yang sakit. Jadi, atas inisiatif ADUN Panti, penduduk berkenaan dipindahkan buat sementara waktu demi keselamatan mereka” katanya.

Menurut penduduk bau berkenaan sangat kuat pada waktu malam.

Beliau berharap agensi yang berkenaan dapat mengambil tindakan lebih pantas dan tegas untuk mengatasi masalah pencemaran bau itu agar penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing dengan segera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini