comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau: Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan ditutup hari ini

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon meninjau Sungai Pandan berikutan Pencemaran bau bahan kimia dikesan di Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa, Johor Bahru.-Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan, di sini tidak beroperasi pada hari ini selepas pencemaran bau kimia yang kuat dikesan di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, langkah itu diambil selepas mendapat nasihat daripada pasukan siasatan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor yang menjalankan pemeriksaan di kampung itu.

Beliau berkata, langkah itu bagi membendung masalah yang lebih serius iaitu menjejaskan tahap kesihatan pelajar selepas terdedah dengan udara yang tercemar itu.

“Saya berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup pada hari ini.

“Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, adalah lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini sementara menunggu laporan siasatan,” katanya di sidang media ketika meninjau keadaan Sungai Pandan di sini hari ini.

Tian Soon berkata, keperluan bagi membuka pusat pemindahan sementara (PPS) masih dipertimbangkan dan akan ditentukan selepas laporan sampel air dan tanah diperoleh.

Tinjauan di lokasi mendapati Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan ditutup hari ini dan ibu bapa hadir untuk membawa anak mereka pulang ke rumah.

Terdahulu, sebuah tadika Kemas Jalan Masjid, Kampung Melayu Pandan, di sini yang terletak bersebelahan dengan Sungai Pandan juga tidak beroperasi pagi tadi.

Seramai 60 kanak-kanak diarahkan pulang berikutan pencemaran bau dipercayai kimia sejak awal pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini