SHAH ALAM : Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau seakan diesel di kawasan Sungai Gong malam tadi.
Bagaimanapun ia terkawal serta tidak menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) berdekatan henti tugas.
EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, berkata hasil siasatan LUAS bersama Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati terdapat sisa diesel dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di Taman Permai Jaya, Rawang.
Katanya, terdahulu pensampelan dilakukan di lokasi yang dikesan menunjukkan bacaan dua ton dan jarak lokasi pencemaran bau ke muka sauk LRA berdekatan iaitu muka sauk LRA Rantau Panjang adalah 20 kilometer (km).
“Siasatan yang dilakukan LUAS di sekitar kawasan yang mempunyai aliran masuk ke sungai mendapati beberapa lokasi aliran dengan bacaan bau sekitar satu ton.
“Pihak LUAS juga mendapati terdapat bau seakan diesel di kawasan hulu Sungai Gong yang berkemungkinan dari kawasan premis industri.
“Walaubagaimanapun, siasatan bersama Air Selangor juga mendapati terdapat sisa minyak diesel ke dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di kawasan Taman Bayu Permai.
“Pensampelan di lokasi berkenaan dilakukan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Loy Sian berkata LUAS mengambil tindakan pencegahan awal dengan meletakkan satu unit ‘oil boom’ di outlet Kolam Takungan Sungai Gong Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta empat beg karbon teraktif; empat unit ‘oil boom’, dan lima unit ‘oil pad’ di saliran longkang stesen minyak berkenaan untuk memerangkap minyak dan nyah bau.
Katanya, LUAS juga sudah siap siaga untuk melakukan pengepaman air daripada kolam-kolam alternatif di Bestari Jaya ke sungai bagi tujuan ‘flushing’ untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai dan seterusnya nyah bau.
“Penggunaan teknologi Bio remediation bagi tujuan pemuliharaan juga diaplikasikan di kawasan-kawasan yang terjejas.
“LUAS juga mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata, LUAS juga memantau rapi kawasan berkenaan melalui pensampelan bau di Stesen Statik di Jambatan Glomac untuk mengesan perubahan bau di Sungai Gong dan berdasarkan rekod, sehingga kini tiada henti tugas LRA dilaporkan oleh pihak Air Selangor. – BERITA HARIAN