comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pencemaran bau: Sampel tanah tercemar, sampel air sungai dihantar ke Jabatan Kimia 

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesahkan kualiti udara di tiga lokasi yang tercemar dengan bahan kimia semalam kembali normal meskipun pihaknya mengesan kehadiran gas ammonia yang tinggi di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan di sini, petang semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan JAS Johor, Mohd Rashdan Topa bacaan gas terbabit berada pada tahap normal hasil pemeriksaan kualiti udara yang dijalankan, pada jam 1 pagi tadi.

Katanya pengukuran tahap kualiti udara di sekitar kawasan Sungai Pandan itu diukur menggunakan ‘multi gas detector’.

“Setakat ini kita tak dapat pastikan (bahan kimia), tetapi berdasarkan pengawasan kualiti udara yang dijalankan oleh JAS di Sungai Pandan (belakang Tabika Kemas Kg. Melayu Pandan) semalam, mendapati bacaan kepekatan Ammonia (NH3) adalah tinggi. Parameter lain adalah normal.

“Kalau seseorang itu berada di kawasan tersebut (gas ammonia) boleh menyebabkan gejala pening-pening dan loya.

“Kita juga mendapat makluman dua penduduk kampung ini mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, dan tiada yang dimasukkan ke Hospital akibat pencemaran udara ini,” katanya ketika sidang media selepas lawatan dan mengambil sampel air Sungai Pandan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Rashdan, pihaknya masih menyiasat sama ada gas ammonia itu dilepaskan oleh premis atau kilang di sepanjang Sungai Pandan atau dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai ini.

Katanya JAS Johor telah melakulan pemantauan udara menerusi dron di sepanjang dua kilometer kawasan Sungai Pandan, selain mengambil sampel tanah dan air di sungai terbabit untuk dianalisa Jabatan Kimia.

“Kita telah menyusur sepanjang sungai sebab aduan itu kita terima di bahagian Taman Daya dan kita juga telah buat siasatan di kawasan itu. Kita khuatir jika ada pembuangan sisa dalam Sungai Pandan di bahagian atas masuk ke Sungai Pandan yang berakhir di sini. Sebab itulah bau di sini kuat.

“Hasil pemantauan dron, kita tengok aliran sungai itu ada tak kesan hitam, sebab di sini kita nampak di belakang Tabika Kemas, air sungai berwarna hitam dan berbau kuat.

“Siasatan kita menjurus kepada premis atau kilang seperti kilang pembuatan ais, kilang baja, yang menggunakan ammonia.

“Tetapi kita akan tengok semua premis atau kilang yang dianggarkan lebih 100 buah beroperasi di sepanjang Sungai Pandan. Ada banyak kemungkinan sama ada dilepaskan atau dibuang di Sungai, masih dalam siasatan.

“Untuk sampel tanah dan air yang dihantar ke Jabatan Kimia, kita jangkakan akan mendapat keputusan itu dalam tempoh seminggu,”katanya.

Semalam, penduduk di tiga kawasan perumahan membabitkan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa diancam pencemaran bau seakan gas yang kuat sehingga sehingga memeningkan kepala.

Loading...
Terkini