comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau: Peniaga terjejas, terpaksa had operasi, kurang pelanggan 

Pencemaran bau di sepanjang Sungai Tebrau di Kampung Maju Jaya, jejaskan peniaga makanan di situ. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Kumpulan peniaga terutama penjaja gerai yang beroperasi berhampiran anak Sungai Tebrau di Kampung Maju Jaya di sini antara yang terjejas akibat pencemaran bau yang berlaku di perkampungan itu sejak awal pagi semalam.

Ini kerana pencemaran bau itu menyebabkan peniaga terpaksa mengehadkan waktu operasi mereka akibat kekurangan pelanggan yang tidak sanggup menghidu bau busuk ketika menikmati hidangan, selain kesihatan mereka terjejas.

Bagi peniaga, Mohd Zaini Kasirin, 49, dia yang biasanya beroperasi mulai jam 4 petang hingga jam 12 tengah malam kini hanya mampu beroperasi kurang lima jam kerana pencemaran bau itu.

Beliau berkata, pencemaran bau itu bukan saja mengakibatkan loya, malah tekak kering serta sukar bernafas.

Penduduk, Zaini Kasirin

“Pelanggan kami dalam kalangan ibu bapa pelajar sekolah dan penduduk kampung. Semalam sekolah terpaksa ditutup selain kebanyakan penduduk berkurung dalam rumah kerana bimbang dengan keselamatan.

“Selain saya, peniaga lain yang beroperasi di sekitar perkampungan ini juga terpaksa menanggung kerugian apabila kurang pelanggan akibat masalah pencemaran bau ini, selain banyak makanan dimasak tidak habis dijual.

“Ada pelanggan tetap kami yang meminta makanan dihantar ke rumah mereka secara ‘bayar apabila barang diterima’ (COD). Jika keadaan berterusan, ia boleh menimbulkan pelbagai kesulitan,” katanya.

Penduduk, Mohd Nizam Samudin

Sementara itu, peniaga minuman, Mohd Nizam Samudin, 41, berkata gerai minumannya terletak berhampiran kawasan sungai dan beliau terpaksa menutup operasinya selama dua hari akibat permasalahan berkenaan.

“Bau berkenaan seakan-akan petai busuk atau bau semburan fogging. Orang ramai memang tidak boleh lalu jambatan di tepi sungai kerana bau terlalu kuat.

“Kami memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sesuai bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini