comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau: Penduduk dakwa alami pening, loya

Air berwarna hitam dan busuk di Sungai Pandan disyaki punca berikutan Pencemaran bau bahan kimia dikesan di Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa, Johor Bahru. NSTP

JOHOR BAHRU: Pencemaran bau bahan kimia yang dikesan tengah malam tadi menyebabkan penduduk di kawasan kampung dan taman sekitar di Kampung Melayu Pandan, di sini mengalami pening dan loya.

Seorang penduduk, Muhammad Mirzal, 42, berkata, pencemaran bau itu disedari jam 4.30 pagi ketika bersiap-siap untuk pergi berniaga.

“Saya menghubungi talian 999 dan disambungkan kepada pihak bomba untuk memaklumkan kejadian itu, sebelum mereka tiba jam 8.30 pagi untuk melakukan siasatan.

“Macam bau minyak, kadang macam bau gas tetapi memang tidak menyenangkan, apa yang membimbangkan, pencemaran bau masih berlarutan hingga kini,” katanya ditemui di kampung itu hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Rukan Tetangga (KRT) Kampung Melayu Pandan, Mohd Fauzi Mohamad berkata, ketika air Sungai Pandan surut, warnanya kehitaman serta berminyak.

“Saya tidak pasti sama ada ia berlaku di sepanjang Sungai Pandan yang sejauh lebih satu kilometer atau sebaliknya.

“Kami bimbang kerana kawasan perkampungan ini memiliki ribuan penduduk dan kumpulan warga emas yang ramai.

“Buat masa ini kami hanya mengikut arahan bomba, kalau perlu berpindah kami akur,” katanya.

Penduduk Taman Istimewa, Muhammad Jaafar, 66, pula mendakwa, terhidu bau busuk pada jam 12 tengah malam sehingga 4 pagi.

Pesara guru itu berkata, pada mulanya dia menyangka bau gas sebelum berpindah dari bilik depan ke bilik belakang.

“Ini pertama kali berlaku dan saya merasa pening kepala dan sesak nafas sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Penduduk Kampung Kangkar Tebrau, Zamri Surip, 67, pula berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap isu pencemaran terbaru itu.

Bapa kepada dua anak itu berkata, ini bagi memastikan insiden seperti tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang tidak berlaku di kawasan itu yang mempunyai banyak kilang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini