Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau: KKM sedia bantu individu terkesan

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia membantu individu terkesan terutama yang mengalami gejala ringan akibat terdedah dengan pencemaran bau di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberitahu isu pencemaran bau di sekitar sungai di negeri itu kini dipantau pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Pencemaran bau akibat kehadiran gas amonia yang dikesan di sekitar sungai Johor adalah dalam bidang tugas JAS.

“Jadi kita dalam bidang tugas masing-masing yang mana mangsa yang dimasukkan ke kemudahan kesihatan, kita akan bertindak.

“Kami sedia beri kerjasama, sama seperti dalam kes di Sungai Kim Kim pada 2019 yang mana ia di bawah bidang kuasa JAS,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 ILKKM Sungai Buloh.

Tiga buah sekolah di daerah Skudai ditutup pada Selasa akibat pencemaran bau disyaki bahan kimia di kawasan berkenaan.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Maju Jaya, Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin memaklumkan murid dan pelajar akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Berdasarkan data, SK Maju Jaya mempunyai 974 murid dan 64 guru; Sekolah Rendah Islam Hidayah mempunyai 1,232 murid dan 92 guru manakala Sekolah Menengah Islam Hidayah mempunyai 807 murid dan 75 guru.

Penutupan sekolah dan pembelajaran secara PdPR ini setakat hari ini sahaja.

Ia bergantung kepada situasi dan laporan semasa sama ada disambung untuk esok atau sebaliknya.

Pada Isnin, SK Kampung Maju Jaya ditutup pada jam 1 petang sebagai langkah keselamatan susulan 21 murid mengalami loya, sesak nafas dan pening kepala akibat terdedah dengan pencemaran bau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini