comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau kimia: Reman pemandu, kelindan lori disambung 6 hari lagi

Kedua-dua suspek yang memakai baju lokap polis tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru jam 8.50 pagi dengan kawalan polis.

JOHOR BAHRU: Pemandu dan kelindan lori warga tempatan yang disyaki terbabit kes membuang sisa kimia yang menjadi punca pencemaran kualiti udara sekitar Johor Bahru awal bulan ini, disambung reman enam hari lagi bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah bagi membolehkan polis meneruskan siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 28 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari, bermula 10 September lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek yang memakai baju lokap polis tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru jam 8.50 pagi dengan kawalan polis.

Kedua-dua suspek ditahan di sebuah pangsapuri di Johor Bahru kira-kira jam 11 malam pada 9 September lalu selepas disyaki membuang sisa kimia sekitar daerah ini.

Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan mendapati bebas barangan terlarang.

Polis mengesahkan kedua-dua suspek mempunyai kaitan kes pencemaran bau kimia di Sungai Linggiu berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi pada 4 September lalu.

Pada 3 September lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan bau ammonia paras tinggi di Sungai Pandan hingga menjejaskan penduduk di Kampung Melayu Pandan, Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa.

Pencemaran yang sama dikesan di Kawasan Perindustrian Tiong Nam berhampiran Taman Daya dan Kawasan Perindustrian Tropika, Ulu Tiram.

Pencemaran dipercayai merebak ke Sungai Skudai dan Sungai Tebrau pada 9 September lalu hingga menjejaskan beberapa kawasan antaranya Taman Damansara Aliff, Taman Perling dan Kampung Maju Jaya.

Hingga kini 21 pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya mengalami gejala ringan seperti muntah dan pening kepala hingga memaksa sekolah itu dan dua lagi sekolah swasta berhampiran ditutup beberapa hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini