comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau dikesan merebak ke Sungai Skudai dan anak Sungai Tebrau

JOHOR BAHRU: Pencemaran bau dipercayai Ammonia dikesan merebak ke beberapa kawasan baharu termasuk Sungai Skudai dan anak Sungai Tebrau, pagi tadi.

Bau yang sama dikesan di Kampung Melayu Pandan minggu lalu mula dihidu penduduk taman Damansara Aliff, Taman Johor, Taman Perling, Taman Tampoi Utama, Taman Impian Emas Skudai, Kampung Maju Jaya dan Desa Idaman yang semuanya terletak dipinggir Sungai Skudai dan anak Sungai Tebrau jam 3 pagi tadi.

Pengerusi persatuan penduduk Taman Damansara Aliff, Azhar Abdul Ghaffar berkata pihaknya membuat aduan selepas penduduk menghidu bau busuk seperti yang dialami penduduk di Kampung Melayu Pandan minggu lalu.

Bertindak daripada aduan itu sepasukan anggota bomba dan penyelamat tiba di kawasan perumahan itu jam 3.30 pagi bagi menyiasat punca pencemaran berkenaan.

Sepasukan pegawai penyiasat dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor turut melakukan pemantauan di sepanjang sungai Skudai dan anak sungai Tebrau sejak awal pagi tadi.

Bagaimananpun hingga kini punca pencemaran berkenaan masih gagal dikesan.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon yang dihubungi mengesahkan aduan berkenaan.

Katanya, sejak semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor telah menerima empat aduan berhubung pencemaran bau berkenaan.

Minggu lalu JAS dan JBPM Johor mengesahkan tiga lokasi sekitar Johor Bahru mengalami pencemaran bau berpunca daripada buangan bahan kimia Ammonia selepas hasil ujian analisa sampel air dan tanah yang dikeluarkan Jabatan Kimia.

Terbaharu, pasukan penyiasat turut menemui  sisa bahan kimia di Sungai Plentong berhampiran kawasan perindustrian Taman Desa Tropika, JohorJaya dan Sungai Pandan berhampiran kawasan perindustrian Tiong Nam.

Susulan itu pusat kawalan operasi bencana (PKOB) peringkat daerah diketuai Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Asman Shah Abdul Rahman telah diaktifkan bagi menangani pencemaran berkenaan.

Beberapa langkah awal telah diambil termasuk memindahkan sisa kimia dari lokasi ke pusat rawatan yang dijangka mengambil masa seminggu untuk diselesaikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 34b, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini