comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau di Taman Perindustrian Tropika: Sisa kimia akan dipindahkan segera

FOTO: Ling Tian Soon/ Facebook

JOHOR BAHRU: Sisa kimia buangan yang dipercayai menjadi punca kepada pencemaran bau yang dilaporkan di kawasan Taman Perindustrian Tropika, Ulu Tiram semalam, disyaki sama dengan sisa kimia buangan di kawasan perindustrian Tiong Nam yang menyebabkan pencemaran bau di Kampung Melayu Pandan, Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, dapatan itu diperoleh selepas pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang digerakkan bagi mengenal pasti punca pencemaran berkenaan sebaik menerima daripada penduduk Kampung Plentong Baru berhubung pencemaran bau yang kuat dari Sungai Plentong.

Beliau berkata, persampelan air dan bahan kimia itu dijalankan dan sampel terbabit dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“Hasil dapatan ini, kerajaan negeri melalui JPBD (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah) Johor Bahru akan mengambil langkah segera untuk memindahkan sisa kimia tercemar daripada kawasan perindustrian Tiong Nam ke pusat rawatan dengan kadar segera dijangka mengambil masa seminggu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Selasa lalu, JPBM dan JAS Johor memulakan siasatan susulan aduan orang awam berkenaan keadaan air hitam dan bau busuk di Kampung Melayu Pandan di sini.

Rabu pula, anggota JAS dan pasukan Hazmat JBPM menyusuri sekitar kawasan Sungai Pandan dan siasatan awal mendapati pencemaran bau itu disyaki berpunca daripada sisa kimia di Kawasan Perindustrian Tiong Nam.

Ling berkata, pada 10 pagi semalam, Mesyuarat Khas JPBD Johor Bahru diadakan bagi membincangkan penyelesaian isu pencemaran bau berkenaan.

“Hasil mesyuarat, melalui syor JBPM, tindakan awal yang dibuat adalah dengan menutup bahan tercemar terbabit dengan habuk kayu dan kanvas bagi mengelakkannya terdedah kepada hujan dan meresap ke dalam tanah serta seterusnya mengalir ke sungai dan berlaku proses pemeluwapan.

“Manakala, Jas pula diarah untuk menyediakan terma rujukan (TOR) bagi kerja pemindahan bahan kimia itu selepas keputusan sampel diperoleh dari Jabatan Kimia Malaysia, esok,” jelasnya.

Pada masa sama, Ling menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang berkaitan, diminta tampil menghubungi Jas Johor di talian 1-800-88-2727 atau Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor Bahru di talian 07-220 0604 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini