comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau di Sungai Pandan terkawal, tiada kes masuk hospital

Bomba dan JAS sudah turun ke lokasi itu, ambil sampel air, tanah dan bahan buangan untuk dilakukan ujian.-FOTO FAIL BOMBA

JOHOR BAHRU: Kes pencemaran bau yang berlaku di kawasan Sungai Pandan di sini, Selasa lalu adalah terkawal dan tidak membabitkan sebarang laporan kes dimasukkan ke hospital.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hingga kini, isu pencemaran bau itu hanya menyumbang kepada gejala seperti kerengsaan, batuk, pening kepala atau loya.

Beliau berkata, pihaknya percaya insiden itu masih terkawal dan tiada tindakan yang lebih tegas perlu diambil dari segi kesihatan selain langkah pemantauan yang sedang dilaksanakan.

“Terkini semuanya terkawal yang mana paras gas amonia yang dikesan juga sudah kembali kepada ‘base line’.

“Tidak ada apa-apa kes pelajar dimasukkan ke hospital. Mengikut apa yang dilaporkan hanya ada yang mengalami kerengsaan dan batuk-batuk,” katanya selepas mengadakan Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Jalan Dhoby di sini, malam tadi.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs)di Jalan Dhoby, Johor Bahru malam tadi. – Foto: NSTP

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Sementara itu, Tian Soon berkata, gas amonia dikesan ketika bacaan udara diambil kelmarin dan semalam, satu lokasi baharu penemuan bungkusan yang memberi petunjuk dalam mencari punca pencemaran bau itu ditemui.

“Bomba dan JAS sudah turun ke lokasi itu, ambil sampel air, tanah dan bahan buangan untuk dilakukan ujian.

“Apa-apa pun, kita tunggu laporan yang lebih terperinci apakah bahan berkenaan,” katanya.

Selasa lalu, pencemaran bau yang kuat terjadi di tiga kawasan membabitkan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa sehingga menyebabkan pening kepala.

Kelmarin, JAS Johor mengesan kehadiran gas amonia tinggi melebihi tahap normal di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan di sini, yang menyebabkan pencemaran bau.

Loading...
Terkini