comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau di Sungai Pandan terkawal – KKM

JOHOR BAHRU: Pencemaran bau daripada bahan kimia di kawasan Sungai Pandan di sini sejak Selasa lalu tidak membabitkan kemasukan ke hospital sehingga ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kes itu dilaporkan terkawal dan pencemaran bau hanya menyumbang kepada gejala seperti kerengsaan, batuk, pening kepala atau loya saja.

Beliau berkata, setakat ini tiada tindakan lebih tegas perlu diambil dari segi kesihatan, selain langkah pemantauan sedang dilaksanakan.

“Setakat ini semuanya terkawal dengan paras gas amonia dikesan juga sudah kembali kepada tahap normal.

“Tidak ada kes pelajar dimasukkan ke hospital, mengikut apa yang dilaporkan hanya ada yang mengalami kerengsaan dan batuk-batuk saja,” katanya selepas mengadakan Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Jalan Dhoby di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Selasa lalu, pencemaran bau yang kuat terjadi di tiga kawasan membabitkan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa sehingga menyebabkan pening kepala.

Semalam, JAS Johor mengesan kehadiran gas amonia tinggi melebihi tahap normal di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan di sini, yang menyebabkan pencemaran bau.

Sementara itu, Tian Soon berkata, gas amonia dikesan ketika bacaan udara diambil semalam dan hari ini, satu lokasi baharu penemuan bungkusan yang memberi petunjuk dalam mencari punca pencemaran bau itu ditemui.

“Bomba dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah turun ke lokasi itu, ambil sampel air, tanah dan bahan buangan untuk dilakukan ujian.

“Apa-apa pun, kita tunggu laporan lebih terperinci apakah bahan berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini