comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran bau di Johor Bahru: 47 mangsa bergejala

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan seramai 47 mangsa pencemaran bau di sekitar bandar raya ini, didapati bergejala dalam tempoh dua hari iaitu sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, seramai 10 individu daripada 47 yang bergejala itu menerima rawatan di klinik awam dan swasta.

Beliau berkata, manakala tiga individu daripadanya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan susulan.

Menurutnya, mengikut rekod, sebelum tempoh itu seorang mangsa pencemaran dimasukkan ke hospital dan masih mendapatkan rawatan.

“Dua individu termasuk seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati dan seorang wanita mengandung sudah dibenarkan pulang.

“Manakala secara keseluruhannya dua individu masih berada di wad di HSA untuk pemerhatian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon.

Beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru diancam pencemaran bau sejak 3 September lalu.

Ia termasuk penduduk di Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin, Kampung Melayu Pandan mengadu terhidu bau busuk pada awal pagi.

Manakala pada 9 September lalu, penduduk di kawasan Kampung Maju Jaya mendakwa diancam bau busuk sejak awal pagi selain mengakibatkan 21 murid Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya mengalami gejala ringan.

Media turut melaporkan seramai 38 mangsa pencemaran bahan kimia di Kampung Orang Asli Pasir Intan di Kota Tinggi di sini dipindahkan ke Balai Raya Kampung Orang Asli Kampung Sayong Pinang sejak 5 September lalu.

Semalam, Ketua polis daerah Johor Bahru selatan, ACP Raub Selamat dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang pemandu dan kelindan lori warga tempatan dipercayai terbabit kes pencemaran dan pembuangan bahan kimia, yang menjadi punca pencemaran kualiti udara sekitar Johor Bahru sejak minggu lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berumur 23 dan 28 tahun ditahan di sebuah pangsapuri sekitar Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini