comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pencemaran bau di 3 lokasi ada kaitan tumpahan kimia di Sungai Pandan 

JOHOR BAHRU: Pencemaran bau di tiga kawasan di sini sejak malam tadi, dipercayai ada kaitan dengan bahan kimia yang belum dikenal pasti jenisnya yang dikesan di Sungai Pandan dekat Kampung Melayu Pandan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, sampel air dan tanah sudah diambil pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri untuk analisis awal.

Katanya, pengukuran nilai pH air Sungai Pandan menunjukkan ia masih normal, namun ujian pengesanan lanjut mendapati terdapat kandungan bahan kimia.

“Belum dapat dipastikan bahan kimia ini, termasuk sama ada ia melebihi paras (selamat), jadi kita menunggu pakar (HAZMAT) dari JBPM Melaka untuk melakukan siasatan lanjut.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga bersama-sama bomba turun ke lokasi dan dapati tahap kepekatan bau di sini adalah lebih ketara berbanding di Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa.

“Pasukan siasatan mengesahkan ada berlaku pencemaran di sini dan seterusnya, pasukan teknikal JAS akan ke lokasi dengan membawa meter pengesan pencemaran untuk mendapatkan laporan lebih terperinci,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ling berkata, setakat ini penduduk di kawasan terjejas tidak mengalami gejala ketara dan tiada yang dimasukkan ke hospital kerana gangguan kesihatan akibat pencemaran bau.

Bagaimanapun beliau menasihati penduduk supaya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami simptom, selain menggunakan pelitup hidung dan mulut jika perlu.

“Di kawasan ini terdapat sekolah, dengan 75 pelajar tadika dibenarkan pulang, manakala sekolah agama petang diberi rehat dulu,” katanya.

Beliau memaklumkan, JAS juga akan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di kawasan kilang berhampiran susulan pencemaran berkenaan.

“Terdapat kira-kira 100 kilang di kawasan sekitar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini