Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PETALING JAYA: Punca pencemaran bau yang menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor adalah akibat kebocoran bahan kimia dikenali sebagai Poly Metha Acrylic Acid (PMAA)
Hasil lawatan mengejut Jabatan Alam Sekitar (JAS) ke atas sebuah kilang memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang, bahan kimia itu dipercayai daripada tangki penstoran yang merupakan produk yang dihasilkan oleh premis tersebut berbentuk cecair.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, kebocoran bahan kimia tersebut telahmenyebabkan pelepasan bau kerana ciri-ciri bahan kimia PMAA yang berbau kuat.
Menurut kenyataan itu, sebanyak tiga sampel bahan bukti turut diambil dan sudah dihantara ke Jabatan Kimia untuk ujian penentuan komposisi dan pemadanan.
Selain itu, kawasan operasi premis beserta peralatan kelengkapan proses disita oleh JAS melalui pengeluaran notis penahanan operasi kelengkapan (POK), di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 sehingga siasatan selesai.
JAS juga sudah membuka kertas siasatan bagi tindakan perundangan, manakala dua individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 (Pindaan 2024).
Sabit kesalahan boleh dipenjara mandatori sehingga lima tahun dan denda maksimum sehingga RM10 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.