comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran: 2 kilang plastik diarah henti operasi 

NIBONG TEBAL: Dua kilang plastik di Kawasan Perindustrian Bukit Panchor, di sini diarah menghentikan operasi serta merta selepas didapati melakukan pembakaran yang mencemarkan udara sehingga mendatangkan kacau ganggu ke atas penduduk setempat.

Dua kilang berkenaan disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada September lalu namun masih tidak serik apabila tetap terus beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata beliau menerima aduan mengenai bau pembakaran plastik yang mengganggu dan merisaukan penduduk di situ sejak Mei lalu.

“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan JAS Pulau Pinang diminta untuk membuat siasatan dan pemantauan kerap serta ketat untuk mengenalpasti kilang yang menimbulkan kacau ganggu itu.

“Selepas siasatan dan pemantauan dijalankan, JAS menyita tiga premis kilang yang mengeluarkan bau kebakaran plastik pada bulan lalu, namun aduan masih diterima selepas kilang-kilang terbabit disita.

“Justeru, saya telah meminta supaya tindakan operasi khas diadakan terhadap tiga kilang itu. Selepas siasatan dan pemantauan didapati dua daripada kilang itu masih beroperasi pada jam 10.30 malam tadi walaupun disita JAS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mooi Lye yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi turun bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi dalam operasi khas yang diadakan MBSP malam tadi.

Menurutnya, salah sebuah daripada kilang yang beroperasi itu tidak mempunyai lesen.

“Bagaimanapun, kedua-duanya diarahkan menghentikan operasi serta merta (susulan kacau ganggu terhadap penduduk),” katanya.

Mooi Lye berkata, MBSP akan menyediakan laporan siasatan kepada JAS untuk mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya.

“Pada masa sama, MBSP juga akan menarik balik lesen perniagaan premis kilang yang tidak mematuhi syarat.

“Saya ingin menegaskan bahawa selaku ADUN Jawi, saya tidak akan bertolak ansur untuk membenarkan kilang haram dan kilang yang menimbulkan kacau ganggu serta pencemaran bau yang membahayakan masyarakat dan komuniti setempat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini