GUA MUSANG: Kira-kira 1,500 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar yang mendiami Pos Balar dan Pos Bihai di sini, berhadapan masalah telekomunikasi, walaupun pencawang perkhidmatan sudah dibina di penempatan mereka.
Justeru, mereka berharap pihak berwajib dapat menaik taraf kemudahan internet di perkampungan mereka bagi memudahkan mereka untuk berkomunikasi.
Tinjauan mendapati di Pos Bihai Lama, mendapati pencawang komunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah dibangunkan oleh kerajaan untuk kemudahan penduduk kawasan itu.
Penduduk Pos Bihai Lama, Mulian Alok, 51, berkata walaupun sudah ada pencawang di bawah program JENDELA, namun kadar capaian adalah terhad dan tidak dapat digunakan semua penduduk.
“Setakat ini kami semua menggunakan Wi-Fi (JENDELA) tetapi kerana terlalu ramai yang menggunakannya menyebabkan capaian menjadi perlahan dan terhad.
“Kemudahan ini sangat penting bukan sahaja untuk kecemasan, tetapi untuk memudahkan urusan jual beli antara kami dengan pembeli yang ingin mendapatkan hasil hutan daripada kami di sini
“Saya harap pihak berkenaan dapat menaik taraf kemudahan internet, selain turut membina pencawang telefon kerana sehingga hari ini, panggilan telefon hanya dibuat dan diterima menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ketika ditemui di Kampung Bihai Lama, di sini.
Penduduk dari Pos Balar, Dior Angah, 27, berkata di penempatan Pos Balar sudah disediakan pencawang telefon tetapi tidak mendapat liputan talian telefon di rumahnya.
“Kami sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana menyukarkan kami untuk berhubung dengan saudara untuk bertanya khabar.
“Selain itu, kami bermasalah untuk melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya berlaku kecemasan atau kematian.
“Walaupun sebelum ini ada usaha syarikat komunikasi untuk menaik taraf kemudahan komunikasi ini, tapi nampaknya ia tidak berhasil,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, berkata beliau mengambil maklum akan aduan penduduk berkenaan masalah jaringan telekomunikasi terhad di kedua-dua Pos Orang Asli terbabit.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya berharap segala masalah dan isu yang ditimbulkan ini dapat diambil tindakan secepatyang mungkin, kita tidak mahu perkara ini berlarutan memandangkan liputan jaringan komunikasi menjadi perkara yang utama dalam kalangan masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.