Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menamatkan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan warga emas dilaporkan hilang Sabtu lalu ketika menangkap ikan pada jarak lebih kurang 1.5 batu nautika Timur Laut Kuala Pahang, Pekan.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama (Maritim) Kamal Ariffin Jusoh berkata, operasi ditamatkan 7 petang semalam setelah selepas enam hari dilaksanakan membabitkan kawasan pencarian seluas 1101.62 batu nautika persegi.
Menurutnya, tindakan menamatkan operasi itu juga selepas pasukan mencari dan menyelamat gagal menemui sebarang petunjuk baharu.
Bagaimanapun katanya, Maritim Malaysia akan terus melakukan rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat jika terdapat tanda-tanda baharu penemuan mangsa.
“Operasi ditamatkan selepas penilaian situasi semasa pencarian dan persetujuan bersama semua agensi terbabit termasuk ahli keluarga mangsa” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Menurutnya, selain Maritim Malaysia operasi mencari dan menyelamat nelayan terbabit turut disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dibantu nelayan tempatan.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa Mohamed Romlan Abdul Rani, 66, dilaporkan ke laut seorang diri bersama bot fiber pada jam 5 pagi dan lazimnya warga emas terbabit pulang semula ke jeti kira-kira jam 11 pagi pada hari sama.
Susulan kehilangan warga emas terbabit, keluarga mangsa membuat laporan polis serta operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.
Bagaimanapun hingga petang semalam mangsa serta bot fiber digunakan warga emas terbabit gagal ditemui.