Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pencari ikan darat cedera tangan kanan digigit buaya tembaga

 

KUALA TERENGGGANU : Seorang pencari ikan cedera di tangan kanan dibaham buaya tembaga sepanjang 2 meter ketika mengambil air sembahyang di sungai  di Kampung Padang Papa, Manir, petang Jumaat lalu.

Mangsa dikenali sebagai Che Man Zakaria, 61 tahun, yang tinggal di Kampung Kebor Besar, Manir, berkata, ketika kejadian dia bersama beberapa orang rakan ke kawasan  berkenaan yang merupakan lubuk pelbagai spesis ikan darat.

Katanya setiap minggu dia akan ke sana dan bermalam untuk menangkap ikan terutama ikan haruan dan belut.

Hasil tangkapan akan dijual setiap hari  Sabtu  di Pasar Manir.

Ketika  hari kejadian, dia sedang mengambil wuduk di sungai berkenaan untuk menunaikan solat maghrib.

Tiba tiba tangan kanannya  direntap oleh buaya sehingga menyebabkan dia terjatuh ke dalam sungai sebelum ditarik ke lubuk.

“Saya nak ambil air sembahyang selepas itu saya basuh tangan dan lampu suluh diletak ditepi. Mungkin cahaya lampu menarik perhatian buaya itu sebelum menyambar tangan saya dan ditarik ke dasar lubuk”.

“Saya hampir lemas selepas bergelut dan berjaya naik semula ke permukaan suangai dan mendapati tangan saya sudah berdarah”, ujarnya.

Che Man bersyukur terselamat dari menjadi mangsa buaya walaupun tangannya cedera digigit reptilia berkenaan.

Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan mendapat 12 jahitan di tangan kanannya.

Che Man yang sudah 15 tahun menangkap ikan di kawasan berkenaan berkata 3 ekor buaya dipercayai berada situ  sejak awal tahun ini.

Namun sebelum ini buaya buaya berkenaan tidak bertindak agresif cuma memakan umpan yang dipasang.

Tambahnya lagi  insiden diserang buaya tidak mematahkan semangatnya demi menyara 13 orang anaknya.

Dia turut menasihati pemancing atau mereka yang berada di sekitar kawasan tersebut agar lebih berhati hati ketika melalui kawasan berkenaan.

Loading...
Terkini