NILAI: Satu penghormatan tidak ternilai apabila Pasukan Khas Hazmat (PKH) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mewakili Asia bagi menganjurkan kursus chemical weapon secara dalam talian baru-baru ini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Datuk TS Nor Hisham Mohammad berkata, tiada lagi negara lain di Asia diberi peluang ini dan ia satu pengiktirafan atas kepakaran dimiliki negara dan JBPM.
“Kesatuan Eropah (EU) melalui European Union Chemical, Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) Risk Mitigation Centres of Excellent (CoE) melantik pakar JBPM sebagai tenaga pengajar dalam siri jelajah Asia Tenggara,” katanya.
Menurutnya, sejak penubuhan Hazmat pada 1992, PKH JBPM menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.
“Pasukan berkenaan wajar diberi pujian dan menjadi kebanggan rakyat negara ini.
Sejak 2012, JBPM diberi pengiktirafan dan kepercayaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Pertubuhan Bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) untuk menganjurkan kursus bertaraf antarabangsa bagi pihaknya.
“Setakat ini Malaysia melalui JBPM anjurkan 12 siri kursus berimpak tinggi dalam bidang chemical weapons. Pada kebiasaannya, setiap siri kursus dihadiri peserta dari 20 negara atau lebih dari seluruh rantau Asia,” katanya.
Jelas beliau, dalam menangani ancaman biologikal, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat melalui Agensi Pengurangan Ancaman Pertahanan (DTRA) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) Malaysia, PKH dipilih sebagai pakar rujuk bagi respon agen biologikal membabitkan komponen pengesanan, pakaian perlindungan diri (PPE) dan dekontaminasi.
“Di peringkat dalam negara, JBPM sejak2001 diberi kepercayaan oleh Kementerian Luar Negeri untuk menganjurkan kursus Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), dalam bidang hazardous materials.
“Setakat ini 15 siri dianjur membabitkan 300 peserta dari seluruh dunia,” ulasnya.
Tambah beliau, lanjutan perkongsian kepakaran ini, Bangladesh, Maldives dan Brunei memohon JBPM menganjurkan kursus khas Hazmat untuk pegawai mereka di Malaysia.
“Selain itu, PKH diberi kepercayaan berkongsi kepakaran dan kemahiran dengan agensi kecemasan dan penguatkuasaan negara,” katanya.