Tumpuan :
Nasional

Penat lelah Beel berbaloi, karya & kreativiti cecah RM80,000

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Usaha memang tidak pernah mengkhianati hasil.

Berdikit-dikit mencipta nama sebagai pelukis mural sejak lapan tahun lalu, ternyata membawa Muhammad Nabil Mohd Azahari 29, menjelajah ke pelusuk negara.

Hasil karya serta daya kreativitinya yang lain daripada lain, melayakkannya menerima bayaran setimpal dengan mural dihasilkan hingga ada yang sanggup membayar RM80,000 demi mendapatkan sentuhan istimewa anak muda ini.

Sebagai pelukis mural, Nabil atau mesra dipanggil Beel bukan saja perlu memiliki daya kreatif malah turut menuntut kesabaran yang tinggi sepanjang proses menyiapkan kerja seni itu.

Memulakan kerjaya sebagai pelukis mural sejak 2015, graduan rekaan grafik dan media digital dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), memberitahu harga bagi setiap mural bergantung pada saiz dinding, rekaan serta lokasi.

Bagaimanapun dia mengakui, kerjaya ini turut berdepan cabaran dan kesukaran termasuk keadaan cuaca yang tak menentu.

“Tempoh untuk siapkan sesuatu karya mural tak boleh diputuskan secara terperinci, sebab ianya bergantung kepada pelbagai faktor terutamanya cuaca.

Jika hujan kerja memang tak boleh dilakukan terutama kalau mural yang perlu dilukis di kawasan luar.

Selain itu, penghasilan karya juga bergantung kepada keadaan dinding, permukaannya….semua itu sangat memainkan peranan.

Imbas Muhammad Nabil, lukisan gambar dan puisi legenda Usman Awang merupakan karya pertamanya yang membawanya lebih jauh dalam dunia lukisan mural.

Menurutnya, lukisan mural memberinya kepuasan berganda apabila menghasilkan karya seni berskala besar di tempat umum, berbanding lukisan kanvas atau kertas yang hanya boleh dipamerkan di galeri saja.

“Sesiapa sahaja yang ingin menceburi bidang ini, hati memang kena kental, sebab pelanggan ini kadang kala ada pelbagai ragam. Untuk itu kita perlu layan mereka dengan profesional sebab mereka yang bayar kita.

Apabila bekerja juga perlu ikhlas, namun perlu sentiasa ambil langkah berjaga-jaga sebab kerja melukis mural ini risiko jatuh daripada tempat tinggi itu ada. Jadi kena selalu berhati-hati,” tambahnya

Loading...
Terkini