KUALA LUMPUR: Penarikan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari status aktif operasi untuk menjalani program senggaraan pasang pulih (refit) tidak memberi kesan buruk terhadap sebarang kesiagaan operasi di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana TLDM merancang program refit dengan teratur bagi memastikan kesiagaan operasi sentiasa berada di tahap optimum.
“Bilangan kapal di sesuatu skuadron sudah dijadualkan untuk menjalani program refit secara bergilir, kecuali jika berlaku sebarang kecemasan luar jangka,” katanya menerusi jawapan bertulis menjawab soalan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) di Dewan Rakyat.
Nordin bertanyakan sama ada penarikan kapal-kapal TLDM dari status aktif operasi untuk menjalani program refit bakal memberi kesan yang buruk terhadap aspek kesiagaan TLDM, tatkala sedang berlaku insiden pencerobohan maritim di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, memandangkan pertahanan negara bersifat saling melengkapi antara satu sama lain, TLDM turut bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam mengadakan rondaan dan pengawasan dengan memperagakan kehadiran di Laut China Selatan.
Pada masa sama katanya, TLDM turut memastikan kesedaran domain maritim MDA sentiasa berada pada tahap tertinggi serta kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) sentiasa terpelihara.
“Oleh itu, kapal-kapal yang tidak menjalani refit boleh ditugaskan secara bergilir bersama aset APMM yang lain untuk mendepani sebarang insiden pencerobohan maritim di kawasan ZEE Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.