TAMPARULI: Sekumpulan belia yang sedang membuat pertunjukan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina terjatuh dalam lubang besar apabila lantai kaki lima kedai tempat mereka berpijak di Jalan Bunga, di pekan ini tiba-tiba runtuh hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, tiga penari tarian singa terbabit tidak mengalami kecederaan dan diselamatkan rakan sepasukan dengan menarik mereka keluar dari lubang sedalam hampir satu meter itu.
Seorang penduduk, Rayner Ebi, 45, berkata kejadian yang tidak diduga itu mengejutkan orang ramai yang sedang menyaksikan persembahan tarian singa kumpulan berkenaan.
“Kejadian itu adalah peringatan jelas mengenai pentingnya penyelenggaraan kemudahan asas di kawasan pekan dilakukan segera oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada BH.
Beliau yang juga pegawai pusat khidmat ahli parlimen Tuaran itu bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.
“Masalah lantai kaki lima kedai bermasalah itu sudah dimaklumkan kepada Majlis Daerah Tuaran untuk tindakan keselamatan sebelum kejadian.
“Bagaimanapun, malang tidak berbau, kejadian lantai kaki lima kedai runtuh berlaku ketika pertunjukan tarian singa sedang berlangsung di lokasi itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mohon tindakan segera pihak berkuasa tempatan terutama Majlis Daerah Tuaran untuk memastikan keselamatan pengguna setempat.
Rayner menasihatkan pejalan kaki di pekan itu untuk berhati-hati melalui kawasan berbahaya terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.