KUALA LUMPUR: Keputusan Moody’s Ratings yang mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A3 dengan tinjauan kategori stabil merupakan pengiktirafan terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan perubahan ekonomi yang berterusan ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan itu mencerminkan keyakinan terhadap usaha kerajaan memacu ekonomi dan melaksanakan pembaharuan fiskal demi kestabilan negara.
“Pengesahan penarafan oleh Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu perubahan struktur, berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada piawaian tatakelola yang tinggi.
“Kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan memberi fokus kepada pelaburan berkualiti, pembangunan infrastruktur, dan kerjasama ekonomi serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan matlamat mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri turut menegaskan komitmen meningkatkan kewangan awam melalui pengoptimuman hasil negara dan pengurangan subsidi dan merangkumi langkah pembaharuan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 sebagai usaha mengekalkan pertumbuhan positif Malaysia.
Terdahulu, Moody’s dalam laporan terbaharunya meramalkan Malaysia sebagai antara ekonomi paling pesat berkembang dalam dua tahun akan datang, dengan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Agensi itu turut memuji kekuatan ekonomi Malaysia, yang disokong oleh kestabilan harga, kepelbagaian struktur ekonomi, serta pasaran modal yang kukuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.