PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan bersedia menambah ‘trip’ bas untuk orang ramai pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menterinya Anthony Loke menyatakan penambahan trip ini akan dibuat beberapa hari sebelum hari raya.
Katanya, dari segi data Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah ada penambahan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi penggunaan bas bukan ekspres.
“Penambahan dari segi trip itu biasanya beberapa hari sebelum raya.
“Itu memang biasa.Tetapi kita tahu walaupun ada penambahan penawaran, permintaan masih sangat tinggi yang mungkin belum cukup untuk menampung,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.
Loke berkata, pihak kementerian terbuka kepada mana-mana syarikat operasi untuk memohon untuk menambah trip bas.
“Kita terbuka kepada mana-mana syarikat operasi untuk memohon. Kalau mereka ada kapasiti, mereka boleh pohon untuk menambah trip,” katanya.