Tumpuan :
Nasional

Penambahan lorong RFID di Lebuhraya Utara Selatan siap lebih awal

KUALA LUMPUR: Kerja penambahan lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Lebuhraya Utara-Selatan kini sudah selesai.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penambahan lorong itu siap lebih awal berbanding perancangan asal yang dijangka siap pertengahan April depan.

Katanya, pada ketika ini, sebanyak 12 lorong tambahan RFID sudah mula beroperasi sejak 11 Mac lalu di Plaza Tol Setia Alam, Subang, Jalan Duta, Putra Mahkota, Kajang, Kubang Semang, Sungai Besi, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PLUS kerana menambah 12 lagi lorong RFID di lebuh raya kendaliannya lebih awal dari yang dijadualkan sebelum ini.

“Pada masa yang sama, saya berharap agar pengguna juga turut mengamalkan kaedah penggunaan RFID yang betul,” katanya dalam satu kenyataan.

Januari lalu, Alexander sendiri mengumumkan penambahan 12 lorong RFID di beberapa plaza tol PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mengatasi masalah kesesakan di lorong RFID yang telah banyak menimbulkan rungutan di kalangan pengguna.

Beliau memberi jaminan bahawa sistem RFID akan sentiasa dipastikan berada di dalam keadaan yang terbaik.

Namun, katanya beliau mengharapkan kerjasama daripada penggguna RFID di lebuhraya PLUS untuk sentiasa menggunakan Lorong RFID atau mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari plaza tol.

“Selain itu memastikan baki eWallet yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan di lebuh raya bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar,” katanya.

Loading...
Terkini