KUALA LUMPUR: Perkhidmatan 5G Telekom Malaysia (TM) tidak terjejas meskipun penamatan Perjanjian Langganan Saham (SSA) syarikat itu bersama Digital Nasional Berhad (DNB) pada Ogos lalu.
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, pelanggan TM masih boleh menikmati perkhidmatan sedia ada itu.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penamatan SSA di antara DNB dan TM tidak menjejaskan penawaran akses 5G sedia ada oleh pihak TM.
“Perjanjian akses di antara DNB dan TM yang dimeterai pada 30 Oktober 2022 juga adalah masih terpakai. Justeru, pelanggan TM masih boleh terus menikmati perkhidmatan 5G yang sedia ada,” jelasnya.
Mengulas lanjut penamatan SSA itu ujar Gobind, berikutan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi syarat duluan yang ditetapkan.
“Dalam hal pemilikan ekuiti dalam DNB oleh TM pula, syarikat tersebut telah memohon lanjutan masa untuk memuktamadkan proses transaksi ekuiti ini iaitu dari 21 Jun 2024 ke 21 Ogos 2024, atas keperluan untuk mendapatkan persetujuan pemegang saham mereka.
“Walau bagaimanapun, pihak TM telah gagal memenuhi syarat duluan dalam mendapatkan persetujuan pemegang saham mereka pada atau sebelum 21 Ogos 2024, dan sekali lagi telah memohon pelanjutan masa kepada 31 Disember 2024.
“Permohonan daripada TM ini telah tidak diluluskan oleh Lembaga Pengarah DNB. Oleh yang demikian, DNB telah menamatkan SSA bersama pihak TM dengan mengeluarkan notis penamatan pada 23 Ogos 2024,” jelasnya lagi.
Dari sudut kerajaan tambahnya, penglibatan syarikat telekomunikasi melalui pegangan ekuiti dalam DNB merupakan langkah utama ke arah peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia.
Empat syarikat telekomunikasi telah menyempurnakan pemilikan ekuiti dalam DNB iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL yang telah selesai pada 29 Jun lalu.
Di bawah terma SSA tambahnya lagi, keempat-empat syarikat telekomunikasi itu secara kolektif memegang kira-kira 65.1 peratus ekuiti dalam DNB, dengan setiap syarikat telekomunikasi memegang kira-kira 16.3 peratus pegangan ekuiti.
Manakala di pihak Kerajaan Malaysia, menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan, mengekalkan kira-kira 34.9 peratus pegangan ekuiti serta Saham Khas dalam DNB bagi tempoh yang ditetapkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.