comscore
Tumpuan :
Nasional

Penamatan PLKS tiga sektor, KSM cari penyelesaian terbaik

Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar.

IPOH: Isu penamatan perkhidmatan pekerja asing yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas dibincangkan tiga kementerian bagi mencari penyelesaian terbaik.

Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar berkata, beliau mengadakan pertemuan mengenai perkara itu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, beliau telah kemukakan surat permohonan dari pihak yang berkepentingan dalam ketiga-tiga sektor dan berharap satu pertimbangan akan dibuat segera kerana jumlah yang terlibat bukanlah jumlah yang besar dibandingkan dengan sektor kritikal lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Muzik Klasik Tamil Antarabangsa 2023 di Ipoh.

Ujarnya, sejak Januari lalu, beberapa organisasi serta pertubuhan perniagaan yang terlibat bertemu dengannya dan meminta supaya penamatan pekerja asing yang dibekukan dapat dibuka semula.

Menurut pekeliling Jabatan Imigresen bertarikh 28 Februari, majikan sub sektor kedai tekstil, kedai gunting dan kedai emas tidak lagi dibenarkan memperbaharui permit PLKS untuk pekerja berkuat kuasa 15 Mac lalu.

Namun, surat pekeliling itu tidak memperincikan sebab di sebalik penamatan itu.

Majikan perlu menyelesaikan urusan penghantaran pulang smeula pekerja asing sebelum permit PLKS tamat pada tahun 2024.

Dianggarkan tiga subsektor itu memerlukan 15,000 pekerja asing.

Sementara itu, tinjauan Buletin TV3 mendapati penamatan PLKS tiga sektor itu nyata menggusarkan pengusaha terbabit dengan mendakwa ia memberi kesan kepada operasi perniagaan.

“Untuk menarik warga pekerja asing ini kalau boleh kita buat secara berperingkat lah sebab sekarang pun kita masih dalam memulihkan ekonomi perniagaan kita,” kata Hilmi Farizul yang merupakan pengusaha sebuah kedai emas.

Bagi pengguna pula, pelbagai reaksi diberikan susulan keputusan kerajaan itu.

Ada yang merasakan ianya tidak perlu dilakukan secara drastik dan ada juga beranggapan sudah tiba masanya negara tidak bergantung kepada tenaga kerja asing.

Pengguna, Liza Rosli berkata, sektor tekstil ini nanti akan menjejaskan mereka untuk berniaga dan kalau boleh jangan berhentikan pengambilan warga asing, bagi peluang mereka dulu untuk menaikkan ekonomi negara.

Loading...
Terkini