Tumpuan :
Nasional

Penama yang dituduh dijatuhkan hukuman denda RM100, denda maksimum – Polis 

 

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung hukuman denda RM100 dikenakan terhadap wanita yang dikaitkan dengan kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa denda dikenakan sebanyak RM100 adalah denda maksimum bagi peruntukan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Seorang wanita dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan penama yang dituduh mengaku bersalah dijatuhkan hukuman denda RM100 iaitu denda maksimum.

“Bukti paling kuat yang kami ada membolehkan pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14 (Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi menegaskan pihaknya sentiasa bersedia untuk menyiasat jika menerima laporan dan petunjuk baharu.

“Sama ada wujud bukti atau tidak kita akan rujuk untuk pertuduhan. Mereka yang terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan bergantung kepada kesesuaian masa,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.

Majistret Arunjothy M Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini