JOHOR BAHRU: Seorang daripada tiga individu yang menaikkan bendera Malaya ketika kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Leftenan Komander (B) Mohamed Sharif Kalam, 86, tidak pernah terlepas menunaikan tanggungjawabnya mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Mohamed Sharif mula mengundi pada PRU kedua iaitu pada tahun 1960 dan hari ini adalah PRU ke-14 buatnya, selain peristiwa mengundi yang ke-15 jika diambil kira Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
Bagaimanapun, pada PRU pertama 1955, Mohamed Sharif yang belum berusia 21 tahun ketika itu tetap terbabit dalam proses pengundian apabila bertugas sebagai petugas pilihan raya ketika berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Batu Pahat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah masih mengurniakan saya kesihatan dan mengizinkan saya menunaikan tanggungjawab saya untuk mengundi.
“Ini adalah kali ke-15 saya mengundi termasuk sebelum ini PRN Johor. Saya lihat suasana dan kaedah pengundian zaman dahulu hingga sekarang tidak banyak beza dan semuanya selalu berjalan dengan lancar.
“Saya memang tidak pernah terlepas untuk mengundi kerana ini adalah kewajipan saya sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pelangi di sini, hari ini.
Bekas anggota tentera laut itu berkata, semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan usia haruslah menghayati sejarah supaya dapat menanamkan rasa cinta terhadap agama, tanah air dan bangsa.
“Sebagai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi orang muda, bacalah sejarah dan babitkan diri dengan proses pengundian ini kerana tanggungjawab kita.
“Walaupun saya sudah berusia, namun sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai semangat patriotik dan rasa cintakan negara, saya akan terus keluar mengundi sekiranya diizinkan,” katanya.
Beliau yang bertongkat dilihat masih berupaya memandu kenderaan sendiri ke tempat pengundian, namun dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan kerusi roda ketika dalam pusat mengundi.
Mohamed Sharif sempat menasihati orang ramai supaya memilih pemimpin yang ‘buat’ kerja, ikhlas dan jujur. – HARIAN METRO