comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penahanan warga Israel: 4 lagi individu ditahan bantu siasatan – KPN

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap empat lagi individu termasuk wanita bagi membantu siasatan berhubung penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu, hari ini memaklumkan tangkapan berkenaan dilakukan di beberapa lokasi sekitar negeri Johor, semalam.

“Kita ada tahan empat lagi individu di Johor, semalam yang kita percaya boleh membantu siasatan polis dalam kes ini.

“Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun ditangkap di sekitar kawasan Skudai dan Gelang Patah. Siasatan masih dijalankan,” katanya hari ini.

Razarudin berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kaitan empat suspek terbabit dalam kes ini serta peranan mereka.

Menerusi empat tangkapan terbaharu ini, menjadikan seramai lapan individu ditahan setakat ini termasuk suspek utama iaitu lelaki Israel berusia 38 tahun.

Mengenai reman suspek suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan enam pistol kepada suspek utama, Razarudin berkata polis akan membuat permohonan sambung reman selepas reman mereka akan tamat esok.

Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata, pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor jam 7.15 malam, pada Sabtu lalu kini direman tujuh hari.

Katanya, pasangan terbabit disyaki memperoleh pistol dari negara jiran sebelum menjualnya kepada suspek utama dengan pembayaran menggunakan mata wang kripto.

Terdahulu, suspek utama warga Israel berusia 38 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu bersama enam pistol dan 200 peluru.

Polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Lelaki Israel itu dikesan masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis yang sah dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama suspek memasuki negara ini selain tujuannya memiliki senjata api.

Suspek kini direman hingga 7 April ini dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini