comscore
Tumpuan :
Nasional

Penahanan Chegu Bard tiada kaitan dengan perhimpunan 16 September – Pengarah JSJ

KUALA LUMPUR: Penahanan aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard, hari ini tidak ada kaitan dengan perhimpunan yang dirancang 16 September ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, penahanan disebabkan kegagalan Chegu Bard menghadirkan diri selepas dipanggil polis berkaitan siasatan kes lain.

Katanya, sebelum ini pihak polis sudah memanggil Badrul Hisham berhubung enam laporan polis yang dibuat terhadap kenyataannya.

“Antara siasatan yang dijalankan adalah berkaitan isu Ambalat, iaitu mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

“Antara siasatan kes lain adalah seperti pendedahan harta yang dimiliki Anwar Ibrahim menerusi aplikasi Tik Tok milik Badrul serta pembocoran dokumen sebuah jabatan kerajaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Mohd Shuhaily juga berkata polis sudah beberapa kali memanggil Badrul Hisham untuk rakaman percakapan tetapi beliau gagal hadir membantu siasatan termasuk mengemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tiada pilihan dan memohon waran tangkap terhadap beliau berhubung kes-kes yang dilaporkan sebelum ini.

“Justeru sidang media ini dibuat adalah mengelakkan sebarang spekulasi terhadap tangkapan beliau yang tiada kaitan dengan penganjuran perhimpunan Sabtu ini,” katanya.

Artikel berkaitan: Polis siasat penganjuran himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ 16 September ini

Beliau juga hairan bagaimana bekas-bekas Perdana Menteri sendiri boleh memberi kerjasama penuh untuk proses rakaman percakapan dalam sesuatu siasatan, namun Badrul sering memberikan alasan dan gagal memenuhi panggilan polis untuk siasatan apabila dipanggil.

“Ini hanyalah proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan dan kita (JSJ) akan menyelesaikan rakaman percakapan beliau (Badrul) ke atas lima kertas siasatan,” katanya.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Perhimpunan 16 September perlu patuh tiga syarat ditetapkan – Ayob Khan

Loading...
Terkini