comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Penagihan dadah adalah penyakit kronik yang perlu dirawat, bukan dipenjara’ – KKM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap pendekatan terhadap pesalah dan penagih dadah di negara ini, ditangani menerusi rawatan dan pemulihan berbanding kaedah semasa yang lebih menjurus ke arah penguatkuasaan dan pemenjaraan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia berikutan penagihan dadah adalah sejenis ‘penyakit kronik’ yang perlu ditangani dengan kaedah lebih berkesan, berbanding pendekatan hukuman yang menyebabkan pengguna dan penagih dadah terperangkap dalam proses undang-undang.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sebarang usaha yang menuntut supaya individu yang ditangkap kerana menagih dan menyalahgunakan dadah, ditangani menerusi pendekatan kesihatan awam.

“Kita tahu penjara bukanlah tempat untuk diberikan rawatan dan rehabilitasi kepada pengguna dan penagih dadah dan sebahagian mereka terpaksa diasingkan di pusat rawatan dan pemulihan, yang boleh merencatkan tahap kefungsian mereka sebagai anggota masyarakat yang produktif.

“Pengamal perubatan di pusat pemulihan dan tahanan berdepan cabaran apabila pesalah bergelut dengan gejala sindrom tarikan akibat penagihan dadah, atau kerencatan mental dan fizikal akibat dadah yang digunakan.

“Ini menyebabkan kesukaran bagi membentuk pelan rawatan dan perubatan yang berkesan dan memenuhi kehendak perundangan, menghalang kehendak rawatan dan pemulihan yang sesuai, selain melewatkan proses perundangan.

“Hasilnya, prognosis penyakit akan bertambah buruk dan sistem pengadilan dan perundangan pula akan bertambah sesak,” katanya ketika berucap pada Simposium Psikiatri Penagihan dan Forensik Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Prof Datuk Adeeba Kamarulzaman.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha menegaskan, usaha untuk menangani isu salah guna dan penagihan dadah perlu dilaksanakan menerusi pendekatan pelbagai disiplin dan kementerian, khususnya membabitkan kerjasama antara KKM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun, katanya, KKM menerusi Program Sub Kepakaran Psikiatri Penagihan dan Forensik perlu memainkan peranan penting dalam rawatan perubatan dan pemulihan pengguna dan penagih dadah.

Beliau turut mencadangkan sistem rujukan kes yang lebih interaktif antara perkhidmatan psikiatri penagihan dan forensik dengan pemegang taruh lain diwujudkan bagi memastikan tiada isu keciciran pesakit.

“Kita harus sedar dan mengaku bahawa ada banyak jurang yang harus ditangani antara penguatkuasaan perundangan dan rawatan perubatan bagi mereka yang menggunakan dadah.

“Intervensi pencegahan dan rawatan perubatan dalam komuniti yang lokal dan berselerak juga menjadi cabaran kepada intervensi yang ingin dilaksanakan dalam pusat pemulihan dan tahanan.

“Cabaran lain dari sudut perundangan harus juga diatasi bagi memastikan penyaluran, kesinambungan dan kelestarian rawatan dan pemulihan diberikan, dan rawatan dengan pendekatan berasaskan komuniti boleh menjadi pemangkin perubahan yang dikehendaki,” katanya.

Loading...
Terkini