Tumpuan :
Nasional

Pemulihan Gaza: Cerminan komitmen, keprihatinan berterusan Malaysia

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Usaha membangunkan semula Gaza termasuk membantu rakyat Palestin mencerminkan komitmen serta keprihatinan berterusan Malaysia yang tidak berbelah bahagi, mendukung negara bergolak itu.

Sokongan dan solidariti teguh Kuala Lumpur itu juga memberi makna dan harapan cukup besar dalam memulihkan semula Baitulmaqdis.

Menurut duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, sistem pembangunan yang lumpuh akibat serangan dan jenayah genosid israel memerlukan tindakan dan bantuan segera komuniti antarabangsa.

Justeru, usaha Malaysia yang konsisten membantu wilayah itu disifatkan tepat pada masanya.

Malah beliau dan penduduk Palestin berterima kasih atas sokongan dan simpati Malaysia.

“Beliau (Datuk Seri Anwar) sentiasa berkongsi pandangannya mewakili rakyat Malaysia yang menyokong dan bersolidariti dengan Palestin dan matlamatnya tidak pernah berubah.

“Pendiriannya (mengenai isu Palestin) adalah jelas pada peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Beliau juga menekankan sokongan Malaysia kepada Palestin akan berterusan,” katanya kepada Buletin TV3.

Beliau juga berharap, masyarakat antarabangsa khususnya negara islam mencontohi komitmen Malaysia dalam membina semula sistem sokongan Gaza yang hampir musnah itu.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.

Kerajaan Malaysia dan Jepun juga mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif kerjasama antara Asia Timur untuk pembangunan Palestin dengan penubuhan dana khas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini