comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemulihan bekalan air capai 83.5 peratus – Air Selangor

Foto hiasan

SHAH ALAM: Pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, sudah mencecah 83.5 peratus.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini, berkata, laporan perkembangan pemulihan bekalan air hingga jam 7.30 pagi tadi itu membabitkan semua kawasan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

“Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza, bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Bagi Kumpulan 1, bekalan air di kawasan terjejas sudah pulih sepenuhnya pada jam 7:30 pagi tadi. Bagi Kumpulan 2, pemulihan penuh dijangka pada jam 8 malam ini, manakala Kumpulan 3 pula dijangka pada jam 8 pagi esok (Jumaat),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang masih terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bantuan bekalan air alternatif menerusi 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.

“Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor wilayah Sepang atau Hulu Langat.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat) serta Taman Gemilang Dengkil (wilayah Sepang,” katanya.

Air Selangor juga menyarankan pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air supaya membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum ia digunakan.

“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas, berjalan lancar.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

“Maklumat juga boleh diperoleh melalui saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor menerusi talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kejadian itu menyebabkan empat LRA terpaksa dihenti tugas sementara membabitkan LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) serta Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3), dengan lebih 1,000 kawasan di daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini