Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pemukiman Jemaah Menteri akan diadakan lagi bagi mendengar pandangan dan cadangan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki serta jabatan lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemukiman itu penting untuk meningkatkan kerjasama dan kesefahaman di antara kepimpinan eksekutif negara dan penjawat awam.
“Semalam julung kali kita ada pemukiman menteri sepanjang hari tetapi ada kelainannya. Bukan sahaja menteri yang berikan pandangan dan perubahan tetapi kita undang Ketua Setiausaha Negara (KSN – Tan Sri Mohd Zuki Ali), mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Ismail Adam dan beberapa ketua jabatan.
“Awal bulan lalu saya tekankan, ada keperluan keserasian antara kepimpinan eksekutif negara dan penjawat awam supaya betul-betul erat. Itu belum selesai kerana belum ada (pandangan) dari Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain (jabatan) tentang bidang tugas dan peranan masing-masing supaya ada kesefahaman yang baik,” katanya pada sesi Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari di sini hari ini.
Terdahulu, JPM dalam satu kenyataan berkata, program pemukiman anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan antara lain bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan serta kesepaduan kalangan anggota Kabinet.
Program itu dihadiri Anwar bersama 27 anggota Jemaah Menteri dan 10 pegawai kanan kerajaan diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini.
Mengulas lanjut, Anwar mahu kerjasama dalam mengurus negara ditingkatkan, selain mempunyai minat membawa perubahan dan kesedaran bekerja dalam satu pasukan yang mantap.
Beliau turut berterima kasih kepada barisan menteri dan pimpinan penjawat awam kerana memberikan dokongan ke arah semangat perubahan berkenaan.