Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang pemuda yang dalam perjalanan untuk menyertai Program Himpunan Pemilik Motosikal RXZ , berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan jalan raya bersama dua lagi penunggang Yamaha RXZ di Kilometer 255.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) di Kemaman, Terengganu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa, Muhammad Luqman Misnan, 30 tahun yang berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran cedera parah di kepala.
Dua lagi mangsa iaitu Aswade Ahmad, 36 tahun,dari Triang, Pahang mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan, manakala Harry Aizam Hanafiah, 35 tahun, dari Kuala Pilah, patah tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, ke semua mangsa sedang dalam perjalanan ke Gong Badak, Kuala Terengganu.
Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Muhammad Luqman tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar dua lagi penunggang lain yang berhenti di bahu kiri jalan.
Hanyan menjelaskan lagi, impak daripada pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terseret sejauh 37.5 meter.
Pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Manakala dua lagi penunggang yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan.
Mayat dibawa ke Hospital Kemaman.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.