Tumpuan :
Nasional

Pemuda maut digilis kereta api

Foto: NSTP

PASIR MAS: Seorang pemuda maut dipercayai digilis kereta api dalam kejadian di Kampung Tanjung, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Mohammad Aqil Irfan Hizuan, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapa mangsa, Hizuan Jusoh, 52, berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya sebaik diberitahu adik ipar, Aiman Abd Rashid, 20, bahawa Mohammad Aqil ditemui terbaring di landasan kereta api.

Katanya, dia terus ke lokasi kejadian dan hanya mengucap panjang apabila melihat keadaan anak ketiga daripada lima beradik itu yang sudah tidak bernyawa serta mengalami kecederaan parah di kepala.

Foto: NSTP

“Saya kemudian mengangkat arwah bagi mengalihkan kedudukanya dan dapat menjangkakan kejadian berlaku di awal pagi kerana tubuhnya yang sejuk selain baju yang dipenuhi embun.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah adalah pada dua hari lepas kerana Mohammad Aqil tinggal bersama datuknya, sejak berusia 15 tahun di kampung yang juga berdekatan dengan lokasi kejadian.

“Saya tidak berbual panjang dengannya dan dia juga kelihatan ceria seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang tingkah laku meragukan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

“Landasan kereta api ini sering digunakan penduduk termasuk arwah sendiri, jadi mungkin ketika kejadian berlaku dia melintasi landasan ini untuk ke rumah bapa saudaranya yang berdekatan.

“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan berharap agar urusan bedah siasat serta pengebumian berjalan dengan lancar,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Jelujuk, di sini.

Loading...
Terkini