comscore
Tumpuan :
Kemalangan

[VIDEO] Pemuda mabuk rempuh Vios, kanak-kanak, bayi parah

Foto tular keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di di kilometer 57 Jalan Batu Pahat – Mersing lewat petang semalam.

KLUANG: Dua kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun lima bulan parah selepas kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki mabuk di kilometer 57 Jalan Batu Pahat – Mersing lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Md Noh berkata, mangsa dikenali sebagai Nur Hana Humaira, parah di kepala, mengalami pendarahan otak selain cedera di tulang pinggul manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira, 6, turut parah di kepala, mengalami pendarahan di otak dan bengkak tulang rahang.

Menurutnya, keduanya masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom manakala bapanya yang juga pemandu dan ibu mereka cedera serta mendapatkan rawatan di zon kuning hospital sama.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian didapati kereta jenis Nissan Navara dan Toyota Vios dari arah yang sama iaitu dari arah Kluang menghala ke Mersing.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta suspek melanggar belakang mangsa hingga menyebabkan Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat dari pelanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta termasuk isteri mangsa berusia 37 tahun yang beralamat di Felda Kahang Timur itu mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HEBHK.

“Tangkapan sudah dibuat terhadap pemandu kereta Nissan Navara seorang lelaki berusia 29 tahun oleh Pegawai Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Suspek dipercayai mabuk semasa kejadian tersebut dan sampel darahnya sudah diambil di HEBHK untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan toksikologi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, saringan ujian air kencing dijalankan ke atas suspek tetapi negatif dan polis akan dibuat permohonan reman di mahkamah hari ini.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular klip rakaman video perbuatan suspek yang berjaya dirakam orang awam di media sosial hingga mendapat kecaman ramai kerana memandu melulu dan menjadi punca kemalangan itu. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini