SINTOK: Biarpun bergelar pempengaruh media sosial, anak yatim piatu dari Sarawak ini tetap mengutamakan pelajarannya sehingga berjaya menerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Utara Malaysia hari ini.
Graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antrabangsa, Emina Kulasic Bong Ei Min, 24, berkata dia tidak pernah leka dengan dunia media sosial sebaliknya akan terus mengejar cita-cita sehingga berjaya memperolehi doktor falsafah (PhD).
Dia yang sudah mempunyai 59,200 pengikut di TikTok turut menegaskan bahawa media sosial tetap kekal sebagai pelan B dalam hidupnya dan itu merupakan bonus sekiranya pengikut di TitTok terus bertambah selepas ini.
“Nasihat saya jangan jadikan pempengaruh sebagai matlamat dalam hidup. Saya sendiri tidak pernah menjadikannya sebagai kerjaya utama saya.Semua perlu ada pelan A dan pelan B.
“Pendidikan seharusnya menjadi agenda utama kerana dengan pendidikan kita boleh mencapai cita-cita selain memberi inspirasi kepada orang lain dan berkongsi ilmu,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerahnya pada Majlis Konvokesyen ke-37 UUM di sini, hari ini.
Emina yang kini bertugas sebagai eksekutif di sebuah firma komunikasi digital berkata
hidup tanpa ibu bapa sejak kecil menjadikannya kuat menghadapi segala cabaran sepanjang pengajian di UUM.
Menurut anak kelahiran Sarikei ini, dia dijaga ibu saudara sejak usia 11 tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
“Semasa belajar di sini, saya hidup sendirian dan berdikari. Secara jujurnya, sebelum majlis (konvokesyen) bermula, saya ada menangis sedikit tadi bila tengok kawan-kawan ada mak ayah.
“Apa pun saya perlu terus kuat dan hari ini saya ada kawan-kawan yang naik pentas untuk terima ijazah dan anugerah,” katanya yang pernah bergiat aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai Setiausaha Agung MPP UUM sebelum ini.
Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Shuib Rosli, 23, berkata pengurusan masa yang baik adalah kunci untuk berjaya dalam akademik.
“Saya juga aktif dalam ko kurikulum di universiti, dalam masa yang sama saya merupakan seorang yang suka membaca, yang penting kita harus bijak membahagikan masa dalam kehidupan harian,” katanya yang berjaya memperoleh
Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94 dalam Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan.
Shuib yang berasal dari Kulim berkata dia kini bekerja sebagai penterjemah buku secara sambilan sementara menunggu tawaran kerja tetap dan merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.
Kedua-dua graduan ini menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.