Tumpuan :
Nasional

Pempengaruh perlu berpada-pada buat kandungan, jangan keterlaluan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menyerahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan siasatan ke atas dua pempengaruh Malaysia, Aras Abdullah dan Ammar Mohd Nzahan, yang terbabit dalam pembikinan kandungan media sosial palsu di Bandung, Indonesia.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kejadian yang dilaporkan itu berlaku di luar negara, justeru ia memerlukan rujukan lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia dan Wisma Putra.

“Sekiranya ia membabitkan badan penguatkuasaan (di negara ini), maka kita serahkan kepada badan itu untuk melakukan siasatan (ke atas pempengaruh berkenaan),” katanya ditemui media selepas meninjau pemasangan WIFI di Kolej Kediaman Zaaba, Univerisiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Fahmi turut menasihatkan pempengaruh berkenaan supaya lebih berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam menghasilkan bahan kandungan masing-masing.

“Dari segi pempengaruh yang menghasilkan konten (kandungan) untuk penonton mereka ini, nasihat saya berpada-pada, jangan keterlaluan, biarlah (insiden) ini kita ambil pengajaran dengan apa yang berlaku.

“Mungkin cara kita hasilkan konten, dia tidak seperti apa diceritakan dalam konten itu. Netizen sangat pantas melakukan siasatan mereka sendiri. Saya dapati ada beberapa pempengaruh lain juga sudah mendapatkan pengesahan tertentu (membuktikan kandungan dihasilkan palsu),” katanya.

Laporan media hari ini yang memetik peguam, Haziq Aizuddin Subhi berkata, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dua pempengaruh berkenaan boleh didakwa kerana melakukan sebaran tidak wajar.

Mengikut kesalahan di bawah Seksyen 233, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, mereka boleh disabitkan dan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Malah, sekiranya didapati masih melakukan kesalahan sama selepas pensabitan, mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari (kesalahan selepas sabitan) atau sebahagian daripadanya sehari.

 

Aras Abdullah (baju hitam) dan Ammar Mohd Nzahan memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Tular di Malaysia sejak semalam, Aras dan Ammar yang terbabit dalam pembuatan kandungan media sosial yang mendakwa rakan mereka hilang dalam hutan di Bandung, Indonesia, memohon maaf secara terbuka.

Melalui video dimuat naik portal berita Indonesia, KumparanNews di laman sosial mereka, kedua-duanya memohon maaf atas kejadian itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Beberapa hari lalu, media melaporkan pempengaruh media sosial dikenali sebagai Eyka dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan di Bandung ditemukan selamat selepas tiga hari hilang. Penemuan itu dikongsi menerusi penstriman langsung di TikTok @Arasz sebelum ia tular.

Namun kelmarin, polis Indonesia berkata, dua pempengaruh berkenaan hanya berlakon berhubung kehilangan rakan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini