Tumpuan :
Nasional

Pempengaruh ditahan disyaki buat ugutan kes pukul OKU

 

Foto hiasan

CHUKAI: Seorang pempengaruh media sosial ditahan polis, hari ini selepas mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan mendatangkan kegusaran awam berhubung kes pukul membabitkan OKU.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan susulan laporan diterima daripada 23 Januari lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, suspek ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor pada 6.55 pagi tadi.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke mahkamah dan polis mendapat perintah reman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, suspek juga akan disiasat mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, media melaporkan lelaki OKU mental dipukul di hadapan orang ramai di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, di sini, dipercayai akibat motosikal yang ditunggang memasuki tapak jualan dan terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.

Insiden itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi, manakala polis turut menahan beberapa individu bagi siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini