Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
PUTRAJAYA: Rakyat di negara ini perlu sentiasa berwaspada sebelum menghulurkan sumbangan derma walaupun atas nama bantuan kemanusiaan.
Ia bagi mengelakkan terperdaya oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan mengutip derma di media sosial dengan menggunakan pempengaruh.
Trend mengutip derma menerusi media sosial oleh pempengaruh dilihat semakin berleluasa di media sosial.
Segelintir netizen turut dilihat mempersoalkan kesahihan kaedah kutipan derma secara dalam talian.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika ditemui menegaskan aktivis atau personaliti media sosial terutamanya diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan daripada sifat pemurah masyarakat dengan cara memanipulasi kutipan derma.
“Kita kena hati-hati kita tak nak sifat dermawan kita itu dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Jadi kita kena bijak dalam konteks tersebut. Kita kena pastikan di mana wang yang kita dermakan itu nanti,” katanya kepada Buletin TV3.
Sebelum ini beberapa personaliti media sosial dikaitkan dengan dakwaan kononnya menyalahgunakan dana sumbangan orang ramai bagi tujuan peribadi.
“Saya nak ingatkan mereka dengan potongan ayat al-Quran menyatakan, jangan sesekali kamu makan harta orang lain itu dengan cara yang batil.
“Jadi ‘influencer’ tadi itu tidak boleh ambil peluang menipu memanipulasi dengan keuntungan dari sifat dermawan rakyat Malaysia ini,” tegasnya.
Beliau mengingatkan hukuman dan azab Allah itu amat pedih bagi mereka yang mengambil harta orang lain.
Sebelum ini tiga individu dikaitkan dengan dakwaan isu berkaitan, namun mereka menafikan pembabitan dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai tuduhan liar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.