MUAR: Seorang pemotong rumput dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan 6 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Abu Bakar Manat berkata tertuduh sepatutnya menjaga anak tirinya kerana ia merupakan satu amanah.
“Kita hidup ini, kalau boleh tak nak jatuh hukum. Tapi kamu guna kuasa, ambil kesempatan terhadapnya,” katanya.
Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 38 tahun mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya berusia 12 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh yang menghadapi dua pertuduhan pindaan sebelum itu merayu sambil menangis supaya mahkamah meringankan hukuman dikenakan terhadapnya kerana perlu menanggung keluarga serta anak masih kecil.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Kluang-Batu Pahat, dekat Batu Pahat, pada jam 12 tengah hari, 3 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang dibawa bersama Seksyen 16.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi mengulangi perkara sama pada jam 4 pagi, 11 Jun lalu, dengan semua kejadian berlaku di rumah sama.
Mengikut Seksyen 14 (a), tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 16 yang juga tambahan hukuman, dia boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.
Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala, lima tahun penjara dan satu sebatan, pertuduhan kedua.
Selain itu, mahkamah juga mengenakan hukuman tambahan bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 iaitu masing-masing dua tahun penjara dan dua sebatan.
Semua hukuman mengikut Seksyen 14 (a) berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan iaitu 13 Jun lalu, kecuali hukuman Seksyen 16 dijalankan secara berasingan.