comscore
Tumpuan :
Nasional

Pemimpin masyarakat seru pupuk kebersamaan, kesepaduan sempena sambutan Hari Wesak

KUALA LUMPUR: Pemimpin masyarakat di negara ini menggesa agar amalan perpaduan dan kebersamaan dipupuk selaras dengan sambutan Hari Wesak esok, selepas tiga tahun ia disambut secara sederhana akibat pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Muda Buddha Malaysia (YBAM) Yong Kuei Yoong berkata berikutan kesan COVID-19, aktiviti ibadat tetap seperti nyanyian pagi dan petang, upacara dan perayaan Buddha, persembahan yang dirancang dan aktiviti berkumpulan terpaksa dihentikan.

“Walaupun banyak acara beralih kepada platform secara dalam talian, namun keberkesanan dan interaksinya tidak sama dengan aktiviti di lokasi.

“Memandangkan operasi sosial dan penerbangan antarabangsa kembali normal, penganut agama Buddha dan belia Buddha yang telah menyesuaikan diri dengan tempoh perintah kawalan pergerakan, kini tiba masanya untuk kita keluar dan aktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyeru pertubuhan Buddha ortodoks dan penganut Buddha yang berbeza tradisi agar bersatu, berkongsi rahmat dan kesusahan serta bekerjasama untuk mencapai era baharu Buddhisme Malaysia

Masyarakat Buddha akan menyambut Hari Wesak esok bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian Gautama Buddha.

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang mengulas keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang meraikan perayaan keagamaan empat agama utama yang menjadikannya amat sesuai untuk dijadikan contoh teladan bagi dunia antara etnik, dialog antara agama, budaya dan antara peradaban, untuk persefahaman, toleransi dan keharmonian.

“Kita mesti berani membayangkan peranan global untuk Malaysia dan tidak berakhir sebagai negara berpecah, gagal dan kleptokrasi dalam beberapa dekad akan datang,” katanya.

Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai pula berkata amalan menghormati budaya bangsa lain adalah amat penting dalam membina masyarakat yang harmoni sekali gus menyeru agar masyarakat bersatu padu dan bekerjasama untuk mencapai keamanan dan kemakmuran.

“Dalam ajaran Buddha, kasih sayang antara sifat yang amat penting. Buddha menyeru orang yang baik dan bijak untuk menyebarkan kasih sayang dengan menyampaikan hasrat ini kepada semua makhluk.

“Oleh itu, kita perlu memberi kasih sayang dan sokongan kepada sesiapa yang memberi bantuan untuk menunjukkan semangat kasih sayang dan bersatu padu semasa kita menangani cabaran, seperti wabak COVID-19 dan kemelesetan ekonomi,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini