Tumpuan :
Nasional

Pemimpin dinilai kerana tanggungjawab, bukan semata jadi ‘penunggang’ – PM

SAN FRANCISCO: Pemimpin akan dinilai ketika mempunyai kedudukan untuk melaksanakan tanggungjawabnya, dan bukan semata-mata menjadi ‘penunggang’ agama atau moral.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itulah ujian sebenar pemimpin selain mempunyai dasar ekonomi yang jelas yang akan dinilai orang ramai menerusi tindakan.

“Orang ramai berikan anda tempoh tertentu, tapi mereka perlu lihat sama ada anda benar-benar serius.

“Semua pemimpin politik dinilai sama begitu, (termasuk) semua pemimpin pembangkang yang mendapat kuasa dengan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya semasa sesi soal jawab di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC Ke-30 bertemakan “The Global Economy and State of The World,” di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas bagaimana pemimpin boleh pastikan bahawa mereka tidak ditenggelamkan oleh retorik, dapat fokus kepada isu sebenar dan bertanggungjawab terhadap generasi akan datang.

Oleh itu, katanya kepercayaan orang ramai sememangnya semakin terhakis apabila pemimpin tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya.

“Jadi, anda betul, kerana keyakinan orang ramai terhadap pemimpin, mahupun pemimpin parti, semakin pudar disebabkan retorik, pious platitude.. apabila tidak ada tindakan konkrit,” katanya.

Anwar tiba di sini pada Isnin (13 November) untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dari 14 hingga 17 November yang merupakan penampilan sulung beliau selaku Perdana Menteri Malaysia pada mesyuarat itu.
Beliau diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini